Hari Ini, 1 Julai 2006 - Genap 50 Hari Pemergian Alesha
A'kum...
Hari sabtu begini, terasa bosan duduk di rumah. Lebih-lebih lagi tiada anak untuk bermanja. Ingin rasanya mengajak suami berjalan-jalan, tapi kemana hendak di tuju? Ke Jusco? Mid Valley? The Mines? Sunway Lagoon? Desa Water Park? Port Dickson?.. semuanya amat membosankan
Seawal pukul 9.00 pagi suamiku mengajak kami ke tanah kuburan. Kata suamiku, hari ini genap 50 hari arwah meninggalkan kita. Patutlah sepanjang malam tadi saya amat sukar untuk melelapkan mata. Sepanjang malam saya teringatkan Alesha. Teringatkan senyumannya. Tangisnya. Sakitnya. Saya cuba membayangkan rupanya. Cuba merasakan sentuhan kulitnya. Cuba menikmati bau kebayiannya. Kerana saya amat takut! Takut yang saya akan melupakannya.
Tadi pagi di tanah kuburan, ada lagi satu kuburan baru. Kuburan kecil. Anak siapakah yang baru dikebumikan itu. Mungkin ibu dan bapa anak kecil itu merasa amat sayu dan pedih berpisah dengannya. Saya amat tahu akan perasaan itu. Kerana perasaan itu telah wujud dalam diri saya selama 50 hari ini. Sudah hampir terubat kepedihannya, namun kenangannya tidak mungkin akan hilang. Saya mendoakan al-Fatihan pada anak mereka itu. Moga anak itu akan aman di sana dan bertemu dengan Alesha dan mereka akan berkawan rapat nanti.